Saturday, August 13, 2011

Asid benzoik dalam mi - utusan online

Asid benzoik dalam mi


PULAU PINANG 25 Nov. -

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan wujud penggunaan asid benzoik secara haram dalam pelbagai jenis mi yang mampu memudaratkan kesihatan manusia.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, penggunaan asid tersebut dikesan pada mi kuning, hor fun dan kuetiau di 30 gerai yang menjual barangan itu di beberapa lokasi di negeri ini.

Menurutnya, kajian itu dibuat pihaknya sejak seminggu lalu, selepas menerima satu contoh hor fun yang mengandungi asid tersebut daripada seorang pengguna di Selangor yang bimbang mengenai tahap kualiti
makanan berkenaan.

Katanya, mengikut Akta Makanan penggunaan asid itu atau bahan pengawet tidak dibenarkan sama sekali, terutama untuk semua jenis pasta dan mi termasuk kuetiau, hor fun,mihun, laksa, makaroni dan spageti.
''Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati penggunaan asid itu boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit antaranya asma, rhinitis dan alergi selain dikaitkan kepada gejala hiperaktif di kalangan
kanak-kanak.

''Dalam satu kajian ke atas beberapa sukarelawan yang diuji dengan dos asid benzoik selama beberapa hari mendapati mereka ini mengalami sakit kepala, lemah serta kepedihan yang teruk," katanya pada sidang
akhbar di sini hari ini.

Menurut Akta dan Peraturan Makanan 1983, penggunaan asid benzoik hanya dibenarkan dalam pemprosesan makanan seperti pes cili, produk kacang soya yang ditapai, belacan, pati minuman, jeruk atau buah-buahan yang dikeringkan.

Selain daripada pati minuman yang memerlukan cairan, tahap maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang dalam makanan ini ialah tidak boleh melebihi 1,000 parts per million (ppm) dalam apa jua keadaan sekalipun.

Justeru, CAP menggesa Kementerian Kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan segera bagi mengawal penggunaan asid benzoik secara haram dalam mi dan juga mengawal penjualannya kepada orang awam kerana ia mudah didapati di kedai.

''CAP juga menghantar surat dan hasil kajian ini kepada pihak kementerian supaya tindakan tegas dan segera dapat diambil.

''Pesalah perlu dihukum dengan menggenakan denda serta penjara yang maksimum supaya mengingatkan peniaga betapa pihak kerajaan serius dalam menangani masalah ini," ujarnya.

Sumber: http://paramedik.bbfr.net/t4434-asid-benzoik-dalam-mi-utusan-online


No comments: